Thursday 12 September 2013

UCAPAN
YB DATO’ SRI PETER CHIN FAH KUI
MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR
SEMPENA KARNIVAL MYGREEN SARIKEI
2 FEBRUARI 2013 (SABTU), 9.30 PAGI
DEWAN SUARAH SARIKEI, SARAWAK

YB Ding Kuong Hiing,
Ahli Parlimen Sarikei 

Y. Bhg Datuk Loo Took Gee
Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air 

Yang Berusaha Encik Ahmad Zairin Ismail
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif GreenTech Malaysia

Yang Berusaha Encik Michael Dawi
Residen Bahagian Sarikei

Yang Berbahagia Tan Sri, Dato’- Dato’, Datin - Datin,
Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sarawak,
Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian dan Agensi di bawah Kementerian,
Pihak Media,
Dif-dif jemputan,
Tuan-tuan dan Puan-puan serta para hadirin sekalian,


Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

1. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Ding Kuong Hiing, Ahli Parlimen Sarikei serta Residen Bahagian Sarikei di atas usaha dan kerjasama dalam menjayakan program Karnival “MyGreen Sarikei” pada hari ini. Jutaan rasa terima kasih juga atas kehadiran semua pihak yang terlibat dalam memberi sokongan kepada program yang dianjurkan pada hari ini.

2. Saya amat berbesar hati kerana pada hari ini sekali lagi saya berpeluang untuk bersua muka dengan komuniti dan masyarakat di Sarikei, Sarawak. Saya juga amat gembira kerana Sarikei menjadi salah satu lokasi pilihan untuk penganjuran Karnival MyGreen pada tahun ini selepas di Miri pada 19 Januari 2013 yang lepas.


Para hadirin sekalian,

3. Pelancaran Dasar Teknologi Hijau Negara pada 24 Julai 2009 membuktikan kesungguhan Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri YAB Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dalam menetapkan Teknologi Hijau sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan seterusnya ingin menjadikan Malaysia sebagai Hub Serantau Teknologi Hijau. Di peringkat Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dengan sokongan GreenTech Malaysia, kita telah melancarkan pelbagai program sebagai visi membangunkan Teknologi Hijau. Pelbagai insentif juga telah diwujudkan dalam menggalakkan sektor awam malahan sektor swasta untuk mengaplikasikan Teknologi Hijau dalam urusan harian. Di samping itu juga, Kementerian saya turut menyokong sebarang kerjasama daripada institusi di peringkat negeri mahu pun nasional dalam melaksanakan pelbagai program kesedaran dan promosi berkaitan  pembangunan Teknologi Hijau.

4. Oleh yang demikian, penganjuran Karnival MyGreen merupakan inisiatif Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bersama-sama dengan Malaysian Green Technology Corporation atau lebih dikenali sebagai GreenTech Malaysia, dalam menggalakkan dan membangunkan keupayaan teknologi hijau negara. Program seumpama ini adalah bertujuan untuk menyebarluas serta memupuk kesedaran mengenai kepentingan amalan hidup hijau dan aplikasi teknologi hijau dalam kehidupan kita seharian. Tambahan, ianya juga merupakan salah satu inisiatif berterusan Kementerian terutama dalam memupuk dan mendidik segenap lapisan masyarakat setempat tentang kepentingan memelihara dan menghargai alam sekitar. 


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

5. Untuk makluman semua, sambutan masyarakat kepada Karnival MyGreen Miri yang bertempat di E-Mart, Miri pada 19 Januari 2013 yang lepas amat menggalakkan. Kelangsungan itu diteruskan lagi dengan karnival “MyGreen Sarikei”, yang mana ribuan warga Sarikei telah berkumpul di Dewan Suarah pada hari ini. Pihak Kementerian amat berharap dengan penyertaan masyarakat di kawasan Sarikei akan dapat mendalami usaha Kementerian iaitu untuk menerapkan budaya amalan hijau. Melalui Karnival MyGreen Sarikei, pihak Kementerian berharap dapat membudayakan gaya hidup hijau kepada semua lapisan masyarakat dengan mempraktikkan amalan teknologi hijau dalam kehidupan seharian mereka. Kita juga ingin menyedarkan masyarakat bahawa memelihara alam sekitar adalah tanggungjawab dan amanah bersama. 

6. Kesemua cabaran ini perlu ditangani secara efektif dan kolektif oleh komuniti global. Peranan kerajaan dan peruntukan undang-undang yang sedia ada tidak memadai tanpa kesedaran dan komitmen dari seluruh warga Malaysia. Kita mahu setiap lapisan rakyat, tidak kira golongan tua mahu pun anak-anak kita supaya perlu sedar bahawa adalah menjadi tanggungjawab dan amanah kita bersama untuk menghayati dan mengamalkan amalan hijau dan mengaplikasi teknologi hijau dalam kehidupan seharian untuk mengurangkan kesan dan impak kepada alam sekitar. 


Para hadirin sekalian,

7. Bagi menjamin kesejahteraan alam sekitar, cara hidup kita juga perlu ditambah baik dengan mengamalkan tabiat kitar semula iaitu dengan kaedah 3R iaitu Reduce, Reuse dan Recycle, menggunakan peralatan cekap tenaga, serta menjimat elektrik dan air. Dengan mengubah tabiat kita, langkah-langkah yang kecil seperti yang saya nyatakan tadi boleh mengubah kehidupan seseorang. Berdasarkan data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tahukah tuan-tuan dan puan-puan bahawa jumlah keperluan air seseorang individu ialah 165 liter sehari. Akan tetapi, penggunaan air oleh rakyat Malaysia mencatat rekod sehingga 300 liter sehari bagi seorang individu, perbezaan sebanyak 135 liter, ianya bersamaan kira-kira 50,000 liter air berlebihan bagi setiap orang dalam tempoh setahun. Akan tetapi, dengan mengamalkan langkah-langkah mudah seperti jangan membiarkan air mengalir ketika mencuci muka serta mengurangkan masa mandian dapat membantu dalam menjimat air dalam jangka panjang.

8. Sesetengah orang mungkin akan mempersoalkan mengapa kita perlu melakukan penjimatan, sedangkan pihak lain hanya memandang remeh dan mengambil mudah terhadap perkara ini. Langkah pertama sebagai seorang pemastautin bumi ini yang bertanggungjawab harus diambil agar kita menjadi teladan kepada pihak lain. Sebagai contoh, amalan menggosok baju sekaligus sekali seminggu boleh menjimatkan elektrik sebanyak 6 kali ganda. Penjimatan elektrik bukan sahaja dapat menjimatkan wang, malahan juga mengurangkan impak kepada bumi kita. Oleh itu, biarlah langkah-langkah yang bakal kita ambil itu dapat membawa impak yang positif. 

9. Adalah menjadi harapan Kementerian bahawa penganjuran “Karnival MyGreen Sarikei” akan membolehkan masyarakat Sarikei memahami isu pemanasan global, pelepasan gas rumah hijau, penyusutan sumber-sumber semulajadi dan bencana alam akibat daripada kerakusan manusia. Dengan tema “MyGreen Sarikei”, diharap seluruh lapisan masyarakat sama ada Kerajaan Negeri, Agensi Kerajaan, sektor swasta, NGO, ahli akademik, media dan individu dapat digembleng dalam merealisasikan Sarawak sebagai negeri Teknologi Hijau. Saya amat gembira sekiranya dapat bekerjasama dengan mana-mana pihak daripada pelbagai sektor yang dapat membantu Kerajaan untuk mencapai matlamat ini. Seperti kata pepatah, ‘Tak Kenal Maka Tak Cinta’.  Cintai alam sekitar, cintai dunia, berkongsi segala hasil daripada teknologi hijau, dengan sendirinya kesedaran itu akan wujud dalam diri kita.


Tuan-tuan dan puan-puan,

10. Besar harapan Kementerian saya, melalui Karnival ini, semua lapisan masyarakat terutamanya generasi muda yang akan menjadi tunggak negara pada masa hadapan, bersama-sama Kementerian untuk merealisasikan visi Kerajaan iaitu sasaran pengurangan pelepasan karbon ke persekitaran sebanyak 40% menjelang tahun 2020. Ini merupakan langkah besar demi memastikan kelangsungan hayat bumi kita. Semoga menerusi karnival ini, segala harapan, hasrat serta kesungguhan dan misi Kementerian saya dapat dihayati dan dijadikan satu budaya seluruh masyarakat setempat di Sarikei.

11. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan penganjuran Karnival “My Green Sarikei”., khususnya para pegawai kementerian saya, Kerajaan Negeri Sarawak, pejabat Residen dan Green Tech Malaysia.  Sekian, terima kasih.

1 comment:

  1. A Complete & Authentic Review of 'The Best Casino
    It seems as if you're where to order air jordan 18 retro red in the middle of a how can i buy air jordan 18 retro yellow sea of gambling, air jordan 18 retro toro mens sneakers cheap and you're seeing gambling replica air jordan 18 retro toro mens sneakers games all over the air jordan 18 retro racer blue store world. In this review, we take a look at

    ReplyDelete